Sisipan Artikel,Lingkungan Tugas dan pelbagai.

Sisipan Artikel, Lingkungan Tugas dan pelbagai.

Salam hormat,
Mengalu-alukan kesudian Tuan/Puan bersama saya dalam agenda ini. Dipohonkan kemaafan dalam setiap kekurangan. Terima kasih

Sunday, 7 October 2012

MODEL ASSURE


ISI KANDUNGAN                                                                         

1.0       Pengenalan                                                                              
2.0       Model ASSURE                                                                                                      
3.0       Bagaimana Guru Melaksanakan Model ASSURE

            3.1       Analisis Murid
            3.2       Nyatakan Objektif
            3.3       Pilih Kaedah, Media dan Bahan    
            3.4       Gunakan Media dan Bahan
            3.5       Dorong Penglibatan Pelajar
            3.6       Nilai dan Semak                        
4.0       Penutup                                                                                                     
5.0       Rujukan                                                                                                    
6.0       Lampiran      

1.0              Pengenalan                            
Sungguh pun idea berkaitan model rekabentuk instruksional telah lama wujud sejak perang dunia kedua, namun penggunaannya masih relevan dan terus tersebar terutamanya di dalam bidang pendidikan. Di dalam kajian Molenda, Reigeluth & Nelson (2003) mereka telah mendefinisikan rekabentuk instruksional sebagai kaedah dan strategi yang sistematik beserta teknologi yang digunakan untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan. Pendapat ini disokong oleh seorang lagi pengkaji yang turut menyatakan bahawa rekabentuk instruksional adalah satu sistem yang dibentuk untuk membangunkan bidang pendidikan dan program latihan yang konsisten dan relevan masa kini (Akbulut, 2007, p. 63).

Berdasarkan kajian-kajian yang dijalankan oleh pengkaji-pengkaji terdahulu, terdapat beberapa model rekabentuk instruksional yang sering menjadi tumpuan pengkaji dan sangat sesuai dijadikan asas bagi pembangunan “courseware” pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Antaranya ialah model ASSURE yang dicadangkan oleh seorang ahli akademik Yusup Hashim (2006) yang menyatakan bahawa model ini sangat meluas diguna oleh guru-guru untuk merancang pembangunan media instruksional secara sistematik.

 ASSURE adalah model pengajaran dan pembelajaran yang terbaik untuk diaplikasikan di dalam bilik darjah kerana model ini berfokus kepada situasi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, di mana skop pembelajarannya terhad dan mudah dikendalikan. Sebelum  seseorang guru melaksanakan model  ASSURE dalam pengajarannya dia mestilah memahami model tersebut. Berikut merupakan maklumat lanjut mengenai model ASSURE.

2.0              Model ASSURE

Model ASSURE ini dipelopori oleh Heinich dan rakan-rakannya pada tahun 1982. Ia bertujuan menyediakan panduan merancang dan mengendalikan pengajaran di dalam bilik darjah dengan menggunakan media. Dalam menghasilkan Reka Bentuk Pengajaran yang baik, model ASSURE yang terbaru, iaitu perubahan pada tahun 2002 digunakan. Model ASSURE ini mengandungi enam langkah yang perlu diikuti iaitu :

                        A -  Analyse Learner ( Analisis Pelajar )

                         S -  State Objective ( Nyatakan Objektif )

                         S -  Select Method, Media and Materials ( Pilih Kaedah, Media dan Bahan )

                         U – Utilise Media and Materials ( Gunakan Media dan Bahan )

                          R – Require Learner Participation ( Dorong Penglibatan Pelajar )

                          E -  Evaluate and Revise ( Nilai dan Semak )

3.0              Bagaimana Guru Melaksanakan Model ASSURE
Bagaimanakah seseorang guru itu boleh melaksanakan pengajarannya dengan menggunakan model ASSURE? Berikut merupakan keterangan dan penjelasan beserta contoh bagaimana seseorang guru itu boleh mengaplikasikan enam langkah yang perlu diikuti oleh guru dalam melaksanakan model ASSURE di dalam bilik darjah.

3.1              Analisis Pelajar
Guru hendaklah menganalisis pelajar terlebih dahulu sebelum melaksanakan pengajarannya .Tiga perkara penting untuk menganalisis pelajar ialah :

(a)   Ciri-ciri Umum

Guru hendaklah mengetahui ciri-ciri umum mengenai pelajar-pelajarnya. Ia merupakan huraian umum tentang umur, tahap atau kelas, latar belakang sosio ekonomi dan sebagainya. Dengan mengetahui ciri-ciri ini, guru dapat menjadikannya asas kepada pemilhan media dan bahan. Untuk mengetahui ciri-ciri ini, guru hendaklah berinteraksi secara langsung dengan pelajar dan meneliti rekod mereka.

Sebagai contoh analisis pelajar dari segi ciri-ciri umum ialah guru mengetahui sama ada pelajarnya daripada keluarga kaya atau miskin, pekerjaan penjaganya atau kemudahan belajar yang ada di rumah mereka. Analisis ini akan membantu guru dalam melaksanakan pengajarannya  atau dalam penggunaan kaedah serta penyediaan media dan bahan semasa mengajar.

(b)   Kecekapan Murid
Kecekapan murid berkaitan dengan pengetahuan sedia ada  atau kemahiran murid tentang tajuk dan kandungan pelajaran. Aspek ini tidak arus diambil ringan kerana, jika tersilap maka akan mendatangkan masalah yang sangat besar kepada murid. Tegasnya, guru tidak harus mengandaikan semua murid mempuyai semua pengetahuan dan kemahiran sedia ada yang sama.

(c)    Gaya Pembelajaran
Membawa maksud cara seseorang murid itu belajar. Menurut ahli psikologi Kluster Trait berpendapat ia berkait dengan seseorang itu menganggap, berinteraksi dan bertindakbalas dengan persekitaran. Gaya pembelajaran ini akan memberi kesan yang besar kepada murid ketika mereka belajar melalui pelbagai kaedah dan media seperti verbal, logical, visual, muzikal dan berstruktur.

 3.2       Nyatakan Objektif   

Sebelum seseorang guru melaksanakan pengajarannya, dia seharusnya menentukan dan menyatakan objektif pelajaran terlebih dahulu. Penyataan objektif pelajaran bukan bertujuan menyekat pelajar untuk belajar tetapi ia merupakan tahap minimum tentang apakah yang sepatutnya dipelajari oleh murid dalam pengajaran seseorang guru. Pembelajaran bermakna perubahan atau pembaharuan. Oleh itu, objektif harus difokuskan kepada apakah pengetahuan, kemahiran dan sikap yang baru untuk dipelajari.

Contoh objektif adalah seperti berikut :

  1. Kumpulan A:  Murid dapat menulis ayat yang betul berdasarkan gambar.
  2. Kumpulan B : Murid dapat melengkapkan ayat berdasarkan gambar.
  3. Kumpulan C : Murid dapat menyusun perkataan menjadi ayat yang betul berdasarkan

                       gambar

Saya berpendapat seseorang guru itu dianggap berjaya sekiranya objektif yang dinyatakan dapat dicapai di akhir pengajarannya. Dengan adanya penyataan objektif pengajaran guru tidak akan tersasar atau terkeluar daripada apa yang dirancang dan dinyatakan di dalam objektif pengajaran dan pembelajaran.

3.3       Pilih Kaedah, Media dan Bahan 
Seseorang guru mestilah bijak dalam memilih kaedah, media dan bahan dalam pengajarannya. Kejayaan dan keberkesanan pengajaran guru dan pembelajaran murid bergantung kepada pelbagai kaedah, media dan bahan yang dipilih dan diaplkasikan dalam bilik darjah.

Kaedah pengajaran yang tepat dan berkesan akan menarik minat murid untuk belajar. Sebagai contoh guru menggunakan kaedah kontektual dalam set induksi pengajarannya. Guru menunjukkan gambar tunggal sebuah keluarga yang sedang berkelah. Murid menyatakan situasi dalam gambar tersebut. Kaedah kontektual membolehkan murid mengaitkan pengetahuan sedia ada atau pengalaman hidup mereka dengan gambar berkelah.

Kaedah kontektual ini akan menarik minat murid untuk belajar dan menambahkan rasa ingin tahu mereka terhadap pengajaran guru. Mereka akan terus menunggu dengan penuh minat dan pengajaran dapat disampaikan dengan mudah oleh guru kerana murid tekun belajar.

Guru juga perlu bijak memilih media yang sesuai dalam pengajarannya. Media pengajaran yang dipilih adalah sesuatu yang dapat digunakan untuk menyalurkan pesanan daripada pengirim kepada penerima sehingga dapat merangsang fikiran, perasaan, minat dan perhatian pelajar serta dapat membentuk proses pembelajaran. Menurut Ngui Kuan Sang (1989)  berpendapat ia adalah satu pengalaman yang melibatkan penggunaan penglihatan dan pendengaran seseorang serta teknik-teknik pengajaran termasuk juga proses pengalaman, persediaan dan perasaan.

 Contoh pemilihan media yang baik dan tepat dalam pengajaran seseorang guru ialah menggunakan perisian video dalam komputer. Guru hendak menunjukkan jenis-jenis haiwan yang bertelur atau  beranak. Melalui media video gambar haiwan yang sedang bertelur atau beranak boleh ditunjukkan kepada murid. Gambaran yang jelas dan tepat dapat menarik minat murid belajar dan memberi pengetahuan yang berkekalan kepada mereka.. Murid menjadi mudah faham dan pengajaran menjadi lebih berkesan.

Bahan yang baik dan mudah dibawa ke dalam kelas juga penting kepada guru. Guru yang bijak akan menghasilkan bahan yang boleh digunakan sama ada oleh murid atau guru dengan mudah dan cepat. Pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih berkesan.

 3.4          Gunakan Media dan Bahan

Langkah seterusnya dalam model ASSURE ialah mnggunakan media dan bahan dalam pengajaran guru. Ini merupakan tahap yang amat penting. Penggunaan media dan bahan dalam pengajaran adalah fasa yang kritikal kerana walaupun secanggih atau sehebat mana media yang dihasilkan, jika tidak digunakan dengan berkesan akan mencacatkan proses sesuatu pengajaran.

Media dan bahan yang digunakan merupakan bahan bantu mengajar guru. Penggunaan bahan tersebut dapat membantu guru mempercepatkan pemahaman murid dan objektif pelajaran dapat dicapai dengan berkesan.

Contoh penggunaan media dan bahan yang dapat membantu guru dalam melaksanakan pengajarannya ialah menggunakan radio dan alat pembesar suara untuk mengajar kemahiran mendengar dan bertutur. Murid mendengar radio untuk mendapatkan maklumat. Maklumat yang dapat dinyatakan dengan jelas dan tepat menandakan murid boleh mendengar dan bertutur dengan baik. Penggunaan radio dan alat pembesar suara dapat membantu guru dalam proses pengajaan dan dapat menarik minat murid untuk melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran.

3.5  Dorong Penglibatan Pelajar

Guru hendaklah mendorong pelajar untuk melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran kerana ia menunjukkan bahawa proses pembelajaran telah belaku. Pelbagai aktiviti boleh diaplikasikan oleh guru untuk mendorong pelajar melibatkan diri dalam proses pembelajaran. Contohnya dalam aktiviti perbincangan. Guru hendaklah mendorong pelajar melibatkan diri dalam aktiviti tersebut. Guru benarkan mereka supaya duduk dalam kumpulan. Sediakan kad-kad untuk membolehkan pelajar mencatat idea atau pendapat mereka. Beri mereka peluang untuk menyatakan pendapat yang telah dibincangkan. Memberi motivasi dan pujian jika jawapan pelajar adalah betul. Manakala jika jawapan mereka salah, usah diperlekehkan atau dihina tetapi beri galakan untuk memperbaiki ke arah yang lebih baik. Dorongan dan galakan yang baik dapat mendorong pelajar unuk  belajar dan memberi tumpuan kepada pelajaran.

3.6       Nilai dan Semak

Langkah terakhir yang perlu dilaksanakan oleh guru dalam pengajarannya berdasarkan model ASSURE adalah menilai dan menyemak. Setelah selesai sesi pengajaran dan pembelajaran, guru perlulah membuat penilaian untuk mengukur keberkesanan alat atau bahan media secara menyeluruh. Penilaian ialah proses yang berterusan dan dibuat sebelum, semasa dan selepas pengajaran.

Contoh menilai dan menyemak sebelum sesi pengajaran dan pembelajaran ialah guru memastikan kaedah, alat atau media yang digunakan sesuai dengan murid. Kaedah nyanyian misalnya sebagai set induksi amat sesuai untuk murid tahap 1. Radio dan kaset digunakan sebagai bahan dan media untuk melengkapkan set induksi pengajaran guru. Penilaian dan penyemakan yang dibuat sebelum sesi pengajaran dan pembelajaran melancarkan proses belajar.

Contoh menilai dan menyemak semasa sesi pengajaran dan pembelajaran pula ialah guru memastikan bahan dan media dapat digunakan dengan sempurna dalam semua aktiviti yang dirancang. Misalnya memastikan semua komputer yang digunakan oleh semua kumpulan murid berfungsi dengan baik dan murid dapat mencatat isi-isi penting hasil perbincangan mereka dalam kumpulan tanpa apa-apa masalah.

Manakala contoh menilai dan menyemak selepas sesi pengajaran dan pembelajaran pula ialah guru memberi markah atau gred kepada hasil kerja murid. Misalnya guru menilai dan menyemak latihan yang diberi dalam bentuk lembaran kerja atau buku latihan kepada murid.

 4        Penutup

Model ASSURE mempunyai asas yang sangat kukuh untuk membangunkan “courseware’ pengajaran dan pembelajaran. Berdasarkan kajian-kajian lepas, model ini bukan sekadar memberi panduan kepada guru dalam pengajaran dan pembelajaran malah setiap ciri yang terkandung dalam ASSURE boleh mengubah persepsi pelajar terhadap proses pengajaran dan pembelajaran yang selalu dianggap membosankan. Sekiranya ciri - ciri model ASSURE ini diaplikasikan sepenuhnya dalam membangunkan “courseware” pengajaran dan pembelajaran, saya sangat yakin bahawa pelajar akan sentiasa tertunggu-tunggu pengajaran guru pada hari tersebut. Bagi pihak guru pula, proses penyampaian maklumat akan menjadi lebih mudah, menarik dan berkesan.  

Saya berpendapat bahawa model ASSURE merupakan salah satu model reka bentuk pengajaran yang sesuai untuk digunakan alan situasi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Model ini mementingkan pemilihan media yang dapat menarik minat murid dalam aktiviti pembelajaran.
Selain itu,  guru mestilah bijak  memilih kaedah dan strategi yang sesuai dalam pengajaran supya dapat mewujudkan sesi pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan berkesan. Berpandukan model ASSURE dalam mereka bentuk pengajaran guru dan murid akan dapat mencapai objektif pembelajaran dengan tepat dan sempurna. Ia juga dapat memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lebih berkualiti menggunakan media yang terancang dan sistematik.

No comments:

Post a Comment