PENGENALAN
Sejarah membuktikan
bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa lingua franca. Pada zaman kegemilangan
zaman Kesultanan Melayu Melaka, bahasa Melayu dituturkan oleh semua pedagang
dari Arab, China, India dan Eropah. Ketika itu, bahasa Melayu dianggap sebagai
bahasa perpaduan dan bahasa komunikasi antarabangsa. Maka
itu, tidaklah menghairankan apabila sarjana Belanda Francois Valentijn
mengungkapkan kebitaraan bahasa Melayu pada abad ke-16 sebagai yang berikut:
“Bahasa mereka, bahasa Melayu, bukan saja
dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh kepulauan
Melayu dan di segala negeri-negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di
mana-mana saja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin
di Eropah, atau sebagai bahasa Lingua Franca di Itali dan di Levant. Sungguh
luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahaminya tidaklah
mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan saja dimengerti di Parsi
bahkan lebih jauh dari negeri itu, dan di sebelah timurnya sehinggan Kepulauan
Filipina.”
Demi memupuk perpaduan
kaum di negara ini, maka dalam Laporan Razak 1956 dinyatakan bahawa, tujuan
akhir dasar pendidikan negara ini adalah untuk menyatukan murid yang berlainan
bangsa di bawah satu sistem pendidikan kebangsaan dengan menggunakan bahasa
kebangsaan sebagai bahasa pengantar. Walau bagaimanapun, kemajuan ke arah ini
hendaklah dilaksanakan dengan berperingkat-peringkat dan tidak boleh dipaksa
secara mendadak. Berdasarkan Laporan Razak jelas bahawa dasar pendidikan yang
dilaksanakan dapat membentuk perpaduan kaum di negara ini.
Malah dalam Laporan Rahman Talib 1960,
kedudukan sekolah rendah ditukar kepada sekolah kebangsaan dan jenis
kebangsaan. Tujuan utama penukaran kedudukan ini adalah untuk mengukuhkan
perpaduan kaum di negara ini di samping memantapkan lagi kedudukan bahasa
Melayu secara berperingkat dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Bahasa Melayu telah
mengalami proses perkembangan yang begitu pesat. Sejak merdeka, bahasa Melayu
telah dinaikkan martabat sebagai bahasa kebangsaan yang menggantikan bahasa Inggeris
yang ketika itu menjadi bahasa rasmi tunggal negara, dan dijadikan bahasa
pengantar utama di sekolah kebangsaan dari peringkat rendah hingga ke peringkat
menengah tinggi sampai ke peringkat pengajian tinggi. Selain itu, bahasa Melayu
menjadi pendukung dan berperanan sebagai bahasa perpaduan di kalangan
masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan beragam bahasa.
FUNGSI DAN KEPENTINGAN
BAHASA MELAYU
Pengenalan
Fungsi bahasa Melayu dalam
sistem pendidikan telah dirumuskan oleh Akta Pendidikan 1961, lanjutan
penegasan perundangan terhadap Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib
1960. Lebih tiga dekad telah berlalu, sejak 1971 dan pelbagai kajian telah
dibuat terhadap kesan sistem pendidikan tersebut. Hasil yang diperoleh agak membanggakan.
Bahasa Melayu terbukti dapat menjadi bahasa pengantar pendidikan setanding
dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Bahasa Melayu telah berjaya diangkat dan
bertindak sebagai bahasa ilmu. Bahasa Melayu digunakan di peringkat sekolah
rendah, menengah dan sebahagian besar daripada pengajian di peringkat tinggi.
Di Malaysia mulai tahun 1983 semua institusi pengajian tinggi awam menggunakan
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, sesudah 13 tahun Dasar Bahasa Kebangsan
ditegaskan semula dalam Sistem Pendidikan Kebangsan.
Kesediaan
kerajaan pada waktu itu memenuhi tuntutan rakyat merupakan kebijaksanaan yang
tepat untuk mempersiapkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang berupaya menjadi
wahana bidang-bidang utama tamadun bangsa dan negara, khususnya melalui
perancangan korpus bahasa dalam bidang kosa kata (umum dan khusus), sistem
ejaan, tatabahasa, sebutan dan laras bahasa. Selama hampir setengah abad negara
menikmati kemerdekaan, bahasa Melayu telah menjadi salah asas pembinaan negara
yang penting melalui tiga fungsi utamanya, iaitu sebagai bahasa kebangsaan,
bahasa rasmi dan bahasa ilmu.
BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA PENGANTAR DI SEKOLAH
Bahasa Ilmu Pengetahuan
Konsep bahasa Melayu sebagai “bahasa
ilmu” mula diperkenalkan dalam tahun 90-an seiring dengan penekanan “budaya ilmu”
pada masa yang sama setiap lapisan masyarakat melibatkan diri baik secara
langsung mahupun secara tidak langsung dengan kegiatan-kegiatan keilmuan di
setiap kesempatan. Sebelum ini ketika tahun 80-an, konsep tersebut lebih
dikenali sebagai “bahasa Ilmiah” ( Nik Safiah 1986 dan Abdullah Hassan 1987 ).
Bahasa Ilmu ialah bahasa yang mampu
menjadi perantaraan bagi penyampaian ilmu pengetahuan sehingga ke peringkat
tinggi dan ianya memainkan peranan sebagai bahasa pengantar kepada ilmu
pengetahuan. Perkara ini terkandung dalam Laporan Razak pada tahun 1957 dan
tahun 1961 setelah melaksanakan syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa
Penyemak Rahman Talib yang seterusnya menghasilkan Laporan Rahman Talib. Laporan
ini bertujuan untuk memungkinkan bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai
bahasa kebangsaan, bahasa itu diberi tempat sebagai bahasa pengantar ilmu
pengetahuan agar dapat berkembang menjadi bahasa yang moden dan mampu menjadi
asas pembinaan negara bangsa yang maju dan berdaulat.
Bahasa Perpaduan
Bahasa Melayu juga
berperanan sebagai bahasa perpaduan. Perpaduan sangatlah penting dalam
masyarakat yang berbilang bangsa. Tanpa perpaduan negara akan kucar-kacir dan
musnahlah sebuah negara beraulat. Di Malaysia ini, terapat tiga kaum utama
iaitu kaum Melayu, Cina dan India. Kaum Melayu merupakan penduduk asal Malaysia
dan mempunyai penduduk yang melebihi lima puluh peratus daripada keseluruhan
warganegara di sini. Oleh sebab itulah bahasa Melayu telah dipilih berdasarkan
kaum majoriti penduduk. Bahasa ini wajib diketahui oleh setiap kaum kerana
bahasa ini menjadi bahasa utama dalam konteks hubungan antara kaum. Bagi merealisasikan
peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan agen perpaduan negara,
Penyata Razak dijadikan sebagai asas Ordinan Pelajaran 1957. Menurut penyata
itu, bahasa dan pendidikan dapat digunakan sebagai alat untuk meningkatkan
persefahaman perpaduan kebangsaan anatara penduduk yang berbilang kaum.
Dengan ini, bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan hendaklah memainkan peranan yang penting untuk
meyatupadukan semua kaum di negara ini. Ini selaras dengan pendapat Garvin dan
Mathiot ( 1968 ) yang mengatakan bahawa fungsi simbolik sesuatu bahasa standard
ialah fungsi penyatuan. Dalam hal ini, bahasa itu boleh bertindak sebagai alat
yang menghubungkan penutur-penutur yang menuturkan berbagai-bagai dialek bahasa
yang sama, dan dengan sedemikian menyatukan mereka ke dalam satu masyarakat
bahasa. Hasil daripada penyatuanpaduan ini, akan wujudlah satu bangsa yang
dikenali sebagai bangsa Malaysia. Penyatupaduan rakyat sesebuah negara jarang
berlaku dengan hanya bersefahaman dalam politik dan agama sahaja. Akan tetapi
bahasa yang merupakan alat pengisi pemikiran dan alat untuk melahirkan pendapat
dan fikiran itu merupakan alat perpaduan yang sebaik-baiknya. Dalam hal ini,
bahasa Melayu mendukung tanggungjawab dalam perpaduan rakyat Malaysia.
Bahasa Komunikasi
Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa
rasmi ialah bahasa komunikasi lisan dan tulisan yang digunakan bagi semua
maksud rasmi kerajaan, memenuhi fungsi komunikasi perkhidmatan awam, yakni
komunikasi dalam jabatan dan antara sesama jabatan sektor awam, antara jabatan
sektor awam dengan sektor swasta dan korporat atau sebaliknya dan komunikasi
antara jabatan sektor awam dengan orang awam atau sebaliknya. Kita juga harus
melihat peranan utama dan peranan komunikatif bahasa kebangsaan kerana sebagai
bahasa kebangsaan, bahasa Melayu ditakrifkan mempunyai peranan utama, yang
antara lainnya menjadi lambang atau citra Malaysia. Ia dibuktikan dengan
penggunaannya di tempat awam, penggunaan nama khas dan melalui media massa
berstatus negara, menjadi wahana pemersatuan warganegara dan rakyatnya dengan
konsep ‘satu bahasa kebangsaan bagi seluruh negara bangsa Malaysia.’ Selain
itu, bahasa Melayu menjadi wahana komunikasi umum (lisan dan tulisan) antara
kelompok masyarakat penutur bahasa dan kegunaan umum antara individu berlainan
etnik. Bahasa Melayu juga berperanan sebagai bahasa dan budaya yang
menggerakkan perkembangan Kesusasteran Melayu di rantau ini. Bahasa dan sastera
tidak boleh dikesampingkan kerana ianya umpama irama dan lagu, sekiranya salah
satu daripadanya tiada maka yang satu lagi akan pincang.
Bahasa Melayu juga mempunyai peranan sebagai alat komunikasi antara kerajaan dengan orang ramai, antara sektor awam dengan swasta dan korporat. Begitu juga sektor swasta dan korporat dengan pelanggan dalam negeri atau sebaliknya. Bahasa Melayu tidak ketinggalan digunakan dalam penyampaian maklumat bagi segala bentuk iklan, nama khas, pengumuman, arahan dan seumpamanya dipamerkan di tempat awam atau di khalayak ramai atau siaran melalui media massa.
KEPENTINGAN BAHASA MELAYU DALAM SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN
Bahasa Kebangsaan
Bahasa jiwa bangsa. Tidak sesiapa
yang dapat menyangkal bahawa bahasa adalah tunggak jati diri bangsa. Jika
hilang satu bahasa, maka lenyaplah satu bangsa. Menurut Tunku Abdul Rahman,
“adalah wajar bahawa sebagai satu Negara membangun kita memerlukan satu bahasa
kepunyaan sendiri”. Jika bahasa kebangsaan tidak diadakan, negara kita akan
ketiadaan nyawa ( Wong & Ee 1971: 78 ).
Semasa Malaysia masih dijajah oleh British,
bahasa Inggerislah telah digunakan seluas-luasnya sebagai bahasa
pendidikan dan pentadbiran. Tidak ada usaha yang konkrit dijalankan untuk
memilih sebuah bahasa kebangsaan. Namun demikian, keperluan untuk menubuhkan
sebuah bahasa kebangsaan semakin mendesak selepas kemerdekaan negara pada tahun
1957. Pada masa itu, hanya lebih kurang 10% daripada bilangan penduduk negara
ini yang berkebolehan bertutur dalam bahasa Inggeris. Untuk membolehkan
penduduk Malaysia menjalankan hal-hal ehwal pentadbiran negara sendiri, sebuah
bahasa yang luas dipergunakan amat diperlukan. Tambahan pula, sebagai sebuah negara
yang baru merdeka, maka perlulah sebuah bahasa kebangsaan diwujudkan untuk
melambangkan identiti yang sama bagi semua kaum yang tinggal di Malaysia. Justeru
itu, keperluan untuk menubuhkan bahasa kebangsaan amat mendesak pada ketika
itu.
Setiap negara yang merdeka memiliki
sebuah bahasa kebangsaan yang melambangkan identiti negaranya. Selain itu dapat
memenuhi keperluan sebagai lambang penyatuan, penubuhan, satu bahasa kebangsaan
juga timbul ekoran daripada desakan semangat kebangsaan. Dalam hal ini bahasa
Melayu dipikir selayaknya dipilih sebagai bahasa kebangsaan kerana jika diikut
peratusan bilangan penduduk, penduduk Melayulah paling ramai iaitu 43%,
manakala penduduk Cina dan India masing-masing 36% dan 8%. Tambahan pula bahasa
Melayu yang dituturkan pada masa itu mempunyai keseragaman dan teratur dan
semua mampu menggunakannya. Dengan itu bahasa Melayu secara langsungnya
termaktub sebagai bahasa Kebangsaan yang tunggal di Malaysia dan melambangkan
identiti kebangsaan sehingga kini.
Bahasa Rasmi
Bahasa rasmi adalah bahasa yang
digunakan dalam situasi rasmi, iaitu dalam urusan pemerintahan dan pentadbiran,
sistem pendidikan Negara, urusan perdagangan dan perusahaan, upacara rasmi,
kehakiman dan sebagainya. Melihat akan fungsi bahasa rasmi itu, maka bahasa
kebangsaan juga boleh dijadikan bahasa rasmi sesebuah Negara. Namun demikian,
bahasa rasmi tidak perlu merupakan bahasa kebangsaan semat-mata kerana bahasa
rasmi adalah bahasa yang dianggap sebagai alat untuk tujuan tertentu yang tidak
perlu dikaitkan dengan semangat kebangsaan.
Di Malaysia, walaupun bahasa Melayu
merupakan bahasa kebangsaan sejak tahun 1957 hingga 1969, tetapi dalam urusan
rasmi, dalam pemerintahan dan sebagainya, bahasa Inggeris masih digunakan di
samping bahasa Melayu, malahan bahasa Inggeris mengatasi bahasa Melayu dalam
konteks urusan sesebuah Negara. Walaupun bagaimanapun, mulai 1969, bahasa Inggeris
hilang kedudukannya sebagai bahasa rasmi dan temapatnya digantikan dan telah
diisi oleh bahasa Melayu.
Selepas kemerdekaan, bahasa Melayu
telah menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi tunggal di Malaysia.
Sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu telah digunakan sepenuhnya sebagai bahasa
urusan pentadbiran kerajaan dan telah digunakan sepenuhnya sebagai urusan
bahasa pentadbiran kerajaan dan sebagai bahasa perbahasan di Parlimen dan di
Dewan Perundangan Negeri umpamanya. Dalam bidang pentadbiran undang-undang,
kehakiman, dan mahkamah, kedudukan bahasa Melayu sebagi bahasa mahkamah
bertambah baik setelah seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan dipinda (Jun 1991).
Penggunaan bahasa Melayu dalam bentuk tulisan misalnya dalam surat-mesyuarat
rasmi, minit mesyuarat dan dokumen kerajaan yang lain termasuk Akta, buku
rancangan pembangunan Malaysia, ucapan belanjawan Menteri Kewangan, dan
sebagainya.
Asas
Pembinaan Negara dan Kebudayaan Masyarakat
Perkara
152 Perlembagaan Persekutuan telah memainkan peranan penting menjadikan Bahasa
Melayu sebagai asas pembinaan negara. Sesungguhnya Perkara152 ini telah
mengiktiraf dan mengisytiharkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta
bahasa rasmi negara. Perkara ini termaktub dalam Perkara 152 (1). Hal ini
disebabkan menjadi satu kepentingan bahawa negara ini mempunyai masyarakat yang
berbilang kaum dan sangat memerlukan satu bahasa sebagai panduan. Bahasa ini
pula boleh difahami oleh setiap kaum. Lagipun peruntukan ini adalah berdasarkan
penduduk asal di Malaysia iaitu orang Melayu yang memonopoli lebih
daripada 50 peratus penduduknya. Oleh yangdemikian, dengan termaktubnya Perkara
152 mendapatinegara mempunyai asas yang kukuh untuk membina sebuah negara.
Selain itu, Bahasa Melayu mempunyai lambang, iaitu sebagai bahasa
kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa pemersatu.
Hasrat ini terungkap dalam dasar bahasa dengan merujuk pada Perkara 152
Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Melalui perkara ini, BahasaMelayu telah
dipilih sebagai lambang jati diri warganegara Malaysia. Hal ini sangat
diperlukan kerana setiap negara mempunyai bahasanya sendiri. Contohnya Negara
Jepun dengan bahasa Jepunnya, Negara Jerman dengan Bahasa Jermannya dan Negara
Perancis dengan Bahasa Perancisnya. Oleh hal demikian, Bahasa Melayumemainkan
peranan sebagai lambang Negara Malaysia dipersada dunia. Dengan hal demikian,
bahasa Melayu berperanan sebagai perakuan kejatidirian bangsa Malaysia
demi memenuhi maksud kemajuan mengikut acuan sendiri, seperti yang digariskan
dalam Wawasan2020.
KESIMPULAN
Secara jujur, perlu diakui
bahawa masih wujud masalah semangat dan kesungguhan yang belum cukup mantap dan
hakiki dalam penggunaan bahasa Melayu. Fenomena ini berlaku, melalui
peristiwa-peristiwa bahasa Melayu kehilangan tempat dalam upacara dan majlis
rasmi di peringkat kebangsaan, apatah lagi pelbagai isu yang timbul melibatkan
institusi pendidikan negara dicabar dengan penggunaan bahasa lain sebagai
bahasa penggantar lebih diutamakan daripada bahasa ibunda kita sendiri.
Lantaran itu, Malaysia dilihat sebagai `negara tanpa bangsa' - bangsa Malaysia.
Hakikat ini terasa amat pahit, tetapi itulah kebenarannya. Perlu ditegaskan
bahawa bukan isu antibahasa asing diperbahaskan tetapi prinsip kita jelas dan
tegas mengatakan pelajari dan kuasailah bahasa asing, tetapi pendaulatan
hanyalah terhadap bahasa kebangsaan kita sendiri. Inilah sikap dan pemikiran
yang amat diperlukan untuk mencapai Wawasan 2020.
tq..
ReplyDeleteThis text is so helpful me.
ReplyDeletealhandulillah terima kasih . . .
ReplyDeleteMantap
ReplyDelete