Sisipan Artikel,Lingkungan Tugas dan pelbagai.

Sisipan Artikel, Lingkungan Tugas dan pelbagai.

Salam hormat,
Mengalu-alukan kesudian Tuan/Puan bersama saya dalam agenda ini. Dipohonkan kemaafan dalam setiap kekurangan. Terima kasih

Thursday, 20 December 2012

CUTI-CUTI MAKAN ANGIN

PERCUTIAN DI PULAU PINANG...
AIR TERJUN LATA MENGKUANG, SIK, KEDAH...
CAMERON HIGHLAND...





Thursday, 29 November 2012

Kelemahan penggunaan Tatabahasa


i)Konsep Tatabahasa
          Tatabahasa merangkumi aspek morfologi dan sintaksis. Aspek morfologi memberi tumpuan kepada sruktur, bentuk dan penggolongan kata. Manakala sintaksis menekankan aspek binaan ayat, pola ayat, bentuk ayat dan susunan dalam ayat.

Morfologi

         Morfologi ialah bidang yang mengkaji struktur, pembentukan kata dan golongan kata. Dalam morfologi, unit terkecil yang mempunyai makna dan tugas nahu ialah morfem. Para pelajar juga perlu mengetahui maksud istilah morfem dan kata. Ini kerana kedua-dua adalah berbeza dari segi fungsi dan konsep.

Morfem

           Morfem ialah unit terkecil yang menjadi unsur perkataan. Sekiranya kata tidak boleh dipecahkan kepada unit bermakna atau nahu yang lebih kecil, maka kata-kata ini terdiri daripada satu unit atau satu morfem.

Misalnya "minum". "Minum" tidak akan berfungsi dan memberi makna jika dipecahkan kepada mi dan num. Sebaliknya, kata "diminum" boleh dipecahkan kepada dua morfem, iaitu "di" dan "minum". Kesimpulannya, perkataan boleh terdiri daripada beberapa morfem.

Morfem boleh dibahagi kepada dua, iaitu morfem bebas dan morfem terikat.

Morfem Bebas
Morfem terikat/imbuhan
Dapat berdiri sendiri, misalnya:
  minum, cuti, sekolah, periksa
Bentuk imbuhan, misalnya:
  mem, per, kan, ber
Mempunyai maksud sendiri.
Tidak mempunyai makna tetapi mempunyai fungsi tatabahasa atau nahu. Boleh mengubah makna sesuatu kata dan seterusnya makna ayat.

Morfem terikat/imbuhan

Morfem terikat/imbuhan boleh dibahagi seperti berikut:

  • Awalan. Ditambah pada bahagian depan kata dasar. Misalnya membaca, menghafal.
  • Akhiran. Ditambah pada bahagian belakang kata dasar. Misalnya perkataan "undian, minuman"
  • Sisipan. Diselit di antara unsur unsur kata dasar. Misalnya telapak (tapak)
  • Apitan. Ditambahkan serentak pada awalan dan akhiran kata dasar. Misalnya, imbuhan per....an dalam permainan.

Sintaksis

        Sintaksis merupakan satu cabang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, dan binaan atau konstruksi ayat. Sintaksis bukan sahaja mengkaji proses pembinaan ayat tetapi juga hukum-hukum yang menentukan bagaimana perkataan disusun dalam ayat.

Ayat

Ayat ialah binaan yang terdiri daripada unsur ayat, iaitu unit-unit yang membentuk ayat.

Contoh:Ahmad sedang membuat kerja rumah.


Contoh ayat di atas terdiri daripada dua bahagian iaitu (i) Ahmad sedang dan bahagian (ii) membuat kerja rumah. Bahagian subjek dan predikat, merupakan bahagian utama yang membentuk klausa atau ayat bahasa Melayu. Subjek dan prediket pula mempunyai unsur-unsur, iaitu sama ada frasa nama (FN), frasa kerja (FK), frasa adjektif (FA) dan frasa sendi nama (FS).

Frasa

         Frasa ialah satu binaan atau unsur ayat yang terdiri daripada sekurang-kurangnya dua perkataan atau jika terdiri daripada satu perkataan, ia berpotensi untuk diperluas menjadi dua perkataan atau lebih. Frasa tidak boleh dipecahkan kepada subjek dan predikat. Seperti yang diterangkan di atas, ada empat jenis frasa iaitu FN, FK, FA dan FS. Menurut binaannya, frasa dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu frasa endosentrik dan frasa eksosentrik. Frasa endosentrik ialah frasa yang mengandungi satu unsur inti. Unsur inti ini mewakili seluruh frasa berkenaan. Frasa dinamakan mengikut unsur inti ini. FN, FK dan FS ialah frasa endosentrik. Ini kerana kata nama, kata kerja, dan kata adjektif boleh menjadi unsur inti setiap frasa itu.

 

Contohnya: sepasang mata biru (FN. Inti frasa ini ialah mata, jenis kata nama)

Manakala frasa eksosentrik ialah frasa sendi nama yang tidak mempunyai unsur inti contohnya ke tandas dan di sekolah . Kewujudan sendi nama di bergantung pada sekolah dan ke kepada tandas. Oleh itu, frasa jenis ini dikatakan frasa eksosentrik kerana pusatnya bergantung pada suatu unsur luaran.

 

ii) Menganalisis empat kesalahan penggunaan tatabahasa

Kesalahan  Penggunaan Imbuhan

Imbuhan ialah unit-unit bahasa yang diimbuhkan pada kata dasar yang mennyebabkan peruabahan makna sebenarnya.  Imbuhan merangkumi bentuk-bentuk terikat seperti awalan, akhiran, sisispan dan apitan.

Jadual 1 menunjukkan kesalahan penggunaan imbuhan

 
Contoh 1
 
Kesalahan tatabahasa
Saya suka membacaan dan mendengaran Al-Quran
Ayat yang betul
Saya suka membaca dan mendengar bacaan Al-Quran

 

     Dalam ayat di atas penggunaan imbuhan apitan ‘meN- an’ menyalahi imbuhan pada kata dasar “baca’. Kata kerja ini perlu menerima imbuhan awalan ‘meN-‘ iaitu ‘membaca’ dan ‘mendengar’ untuk membentuk kata kerja aktif transitif yang memerlukan objek sebagai pelengkap maksud iaitu ‘bacaan Al-Quran’. Kata ‘bacaan’ ditambah supaya ayat tersebut lebih gramatis.

Jadual 2 menunjukan kesalahan tatabahasa kerana pelajar tidak mengimbuhkan kata kerja dasar.

 
Contoh 2
Kesalahan tatabahasa
Saya mahu kongsi cerita
Ayat yang betul
Saya mahu berkongsi cerita

 

     Awalan ‘beR’ dalam ayat di atas perlu diimbuhkan pada kata kerja ‘kongsi’ untuk membentuk kata kerja aktif transitif yang memerlukan objek sebagai pelengkap maksud atau ‘cerita’.

 

 Kesalahan Penggunaan Kata Hubung

 Kata Hubung ialah sejumlah perkataan yang bertugas menghubungkan dan binaan ayat atau lebih sehingga menjadikan satu bentuk ayat yang berlapis yang dikenali sebagai ayat majmuk. Terdapat tiga jenis kata hubung iaitu kata hubung gabungan ‘dan’, kata hubung pancangan relatif ‘yang’ dan kata hubung komplemen ‘bahawa’

Jadual 3 menunjukkan kesalahan penggunaan kata hubung

 
Contoh 3
 
Kesalahan tatabahasa
Dia ialah budak yang rajin, dia suka tolong mak memasak.
Ayat yang betul
Dia ialah budak yang rajin dan suka menolong emak memasak.

 

            Pelajar melakukan kesalahan tatabahasa kerana mereka tidak menggunakan kata hubung gabungan ‘dan’ dalam ayat di atas. Kata hubung ‘dan’ perlu untuk menghubungkan dua klausa ayat di atas.  Selain itu, pelajar turut melakukan kesalahan pada kata kerja ‘tolong’ dan kata nama ‘mak’.

Jadual 4 menunjukkan kesalahan kata hubung

 
Contoh 4
Kesalahan tatabahasa
Keluarga saya baik dan ramai dan lucu
Ayat yang betul
Keluarga saya ramai, baik dan lucu

 

     Kata hubung ‘dan’ perlu digunakan sekali sahaja dalam ayat diatas bagi menghubungkan klausa yang sama tara sifatnya iaitu ‘Keluarga saya ramai’, ‘Keluarga saya baik’ dan ‘Keluarga saya lucu’.

 

Kesalahan Penggunaan Kata Pemeri

Menurut Tatabahasa Dewan, kata Pemeri ‘ialah’ digunakan untuk menunjukkan persamaan dan hadir di hadapan kata nama atau frasa nama. Kata pemeri ‘adalah’ pula digunakan untuk menunjukkan huraian dan hadir di hadapan  kata adjektif, frasa adjektif, kata sendi nama atau frasa sendi nama.

Jadual 5 menunjukkan kesalahan penggunaan kata pemeri

 
Contoh 5
 
Kesalahan tatabahasa
Saya suka ialah manggis
Ayat yang betul
Saya suka akan manggis.  atau
Saya menyukai manggis

 

      Walaupun kata pemeri ‘ialah’ di dalam jadual 5 digunakan di hadapan kata nama, namun penggunaannya menyalahi struktur ayat bahasa Melayu kerana kata adjektif tidak boleh disusuli oleh kata pemeri ‘ ialah’ dan ‘adalah’. Oleh itu, kata pemeri ‘ ialah’ perlu digugurkan. Selain itu, kata adjektif ‘suka’ yang membawa persamaan memerlukan pelengkap iaitu kata 'sendi nama ‘akan’ dan perlu disusuli oleh kata nama dan frasa nama. Sebagai contoh ‘Saya suka akan manggis’. Kata adjektif ‘suka’ juga boleh menerima imbuhan apitan ‘me-i’ yang berfungsi sebagai kata kerja transitif dan disusuli kata nama ‘manggis’ sebagai objek. Sebagai contoh ‘ Saya menyukai manggis’.

Jadual 6 Kesalahan penggunaan kata pemeri

 
Contoh 6
 
Kesalahan tatabahasa
Durian adalah bulah yang paling terkenal di Malaysia.
Ayat yang betul
Durian ialah buah yang paling terkenal di Malaysia

 

      Berdasarkan ayat dalam jadual 6, didapati pelajar menggunakan kata pemeri ‘adalah di hadapan kata nama. Oleh itu, kata pemeri ‘adalah’ perlu digantikan dengan kata pemeri ‘ialah’. Selain itu, terdapat kesalahan ejaan kata ‘buah’ yang dieja ‘bulah’

 

Kesalahan  Frasa Nama

 

a. Kesalahan hukum D-M

 

    - Hukum D-M ialah hukum tentang cara kata-kata disusun supaya frasa nama dapat   

      dibentuk.

    - D bermaksud unsur/perkara yang diterangkan atau subjek ayat.

    - M bermaksud unnsur/perkara yang menerangkan atau predikat ayat

    - Suatu frasa nama unsur D mestilah mendahului M kecuali nama-nama jawatan.

 

Jadual 7 Kesalahan penggunaan Hukum D-M

 
Contoh 7
 
Kesalahan tatabahasa
Ah Seng restoran terletak di persimpangan Jalan Melati
Ayat yang betul
Restoran Ah Seng terletak di persimpangan Jalan Melati

 

 

 

 

 

b. Kesalahan dari segi bentuk jamak;

 

    - Kata nama/frasa nama tidak boleh mengikut kata bilangan yang membawa maksud   

      banyak

 

 Jadual 8 Kesalahan penggunaan frasa nama

 
Contoh 8
 
Kesalahan tatabahasa
Beberapa masalah-masalah berkaitan remaja perlu ditangani segera
Ayat yang betul
Beberapa masalah berkaitan remaja perlu ditangani segera

 

 

 

    - Kata nama/frasa nama tidak perlu digandakan menjadi penggandaan berentak/kata nama

      ganda berentak

      yang membawa maksud jamak tidak boleh hadir selepas kata bilangan tak tentu.

 

 

 Jadual 9 Kesalahan penggunaan frasa nama

 
Contoh 9
 
Kesalahan tatabahasa
Di daerah ini banyak bukit-bukau
Ayat yang betul
Di daerah ini banyak bukit

 

 

    - Kata nama am/frasa nama am yang mendukung maksud jamak tidak perlu diulang.

 

 

 Jadual 10 Kesalahan penggunaan frasa nama

 
Contoh 10
 
Kesalahan tatabahasa
Generasi-generasi muda hari ini semakin goyah keimanannya
Ayat yang betul
Generasi muda hari ini semakin goyah keimanannya

 

 

    - Kata nama/frasa nama yang didahului oleh kata bilangan yang membawa  

       makna/kumpulan tidak perlu diulang

      atau digandakan.

 

Jadual 11 Kesalahan penggunaan frasa nama

 

 
Contoh 11
 
Kesalahan tatabahasa
Kaum petani-petani itu sedang mengerjakan tanah
Ayat yang betul
Kaum petani  itu sedang mengerjakan tanah

 

 

 

    - Kata nama majmuk yang membawa maksud jamak tidak perlu diulang sama ada  

      sebahagian atau keseluruhannya.

 

     

 Jadual 12 Kesalahan penggunaan kata nama majmuk

 
Contoh 12
 
Kesalahan tatabahasa
Sultan Mansur Shah suka mendampingi alim-alim ulama
Ayat yang betul
Sultan Mansur Shah suka mendampingi alim ulama

 

    - Kata ganti nama diri ketiga iaitu mereka tidak boleh diulang kerana sudah membawa  

       maksud jamak.

 

 

 Jadual 13 Kesalahan penggunaan kata ganti diri

 
Contoh 13
 
Kesalahan tatabahasa
Mereka-mereka itu ialah kawan saya
Ayat yang betul
Mereka  itu ialah kawan saya

 

 

    - Kata nama di bahagian subjek tidak perlu diulang jika unsur predikatnya terbina daripada  

      kata adjektif yang digandakan atau sebaliknya.

 

     

Jadual 14  Kesalahan penggunaan frasa nama

 
Contoh 6
 
Kesalahan tatabahasa
Baju-baju itu cantik-cantik belaka
Ayat yang betul
Baju-baju itu cantik  belaka   atau
Baju  itu cantik-cantik belaka